Kami ,kakitangan awam Malaysia, dengan segala hormat, rendah diri dan dengan taat setia ingin memohon dan merayu kepada ketua-ketua kami iaitu;-
YBhg Tan Sri KSN dan semua KSU-KSU,
Tan Sri Dato Panglima ATM, dan;
Datuk Sri KPN
agar segera mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bagi memberi cadangan dan nasihat kepada Baginda agar 'merehatkan' tugasan Perdana Menteri (dan Menteri-Menteri kabinet) dan juga semua aktiviti politik dalam Negara untuk sementara. Ini adalah bagi menyejukkan suasana yang sangat panas dan tegang ketika ini, sehingga 2023 (Tahun Pilihanraya Umum ke 15)
Sementara itu, kami ingin mencadangkan agar Kerajaan Baginda diuruskan sementara oleh satu 'Caretaker Government' yang ditadbir oleh penjawat awam sepenuhnya yang diketuai oleh KSN TANPA mana-mana ahli-ahli politik (Sehingga 2023,PRU15) bagi menyelesaikan masalah, membaiki kerosakan, membantu rakyat jelata yang sedang sengsara dan juga bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Yang Dipertuan Agong.
Dengan tiadanya ahli politik dan campur tangan mereka dalam pentadbiran kerajaan untuk setahun dua ini, akan dapat membantu Penjawat Awam berkhidmat dengan lebih fokus, lebih berkordinasi , efisien dan cepat bagi membantu rakyat dalam menghadapi pandemik dan masalah ekonomi yang sedang melanda negara kita. Keadaan jelas sangat mendesak dan kritikal dan langkah ini amat perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara. Juga bagi mengelakkan sebarang bencana dan ketidakstabilan dalam negara.
Cadangan ini juga boleh dipanjangkan kepada Majlis Raja-Raja dan juga kepada Yang Dipertua Negeri untuk diaplikasikan di negeri masing-masing.
Cadangan dan rayuan ini tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik dan hanya untuk kesejahteraan negara. Segala perhatian dari YBhg Tan Sri/Dato/Datuk/Tuan/Puan berkenaan perkara ini amatlah dihargai.
Sekian, Terima kasih
'BERKHIDMAT UNTUK NEGARA'
Gerakan Kakitangan Awam(GKA) Malaysia
Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )
Kami Penjawat Awam